Fatwa Negeri & Kebangsaan

HUKUM MEMPROMOSIKAN PRODUK INSURANS KONVENSIONAL MENURUT PERSPEKTIF SYARIAH


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-89 yang bersidang pada 14 - 16 Disember 2009 telah membincangkan Hukum Mempromosikan Produk Insurans Konvensional Menurut Perspektif Syariah.

Muzakarah berpandangan bahawa sistem takaful berlandaskan syariah sedang pesat berkembang dan memerlukan sokongan umat Islam dalam usaha untuk memartabatkan sistem muamalat Islam. Sehubungan itu, Muzakarah memutuskan bahawa orang Islam adalah dilarang mempromosikan produk insurans konvensional yang jelas berasaskan sistem riba. Walau bagaimanapun, pendapatan atau komisyen yang diterima dalam proses transisi dari sistem konvensional kepada takaful adalah dimaafkan.


Keterangan/Hujah: 

  1. Hukum terhadap insurans konvensional adalah jelas keharamannya mengikut kesepakatan para ulama’ kerana ia mempunyai elemen tidak patuh syariah iaitu riba, gharar dan maisir.
  2. Keharaman muamalah riba tidak terhenti setakat amalan itu sahaja, bahkan Allah SWT telah mengisytiharkan perang kepada pemakan-pemakan harta riba. Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah mengemukakan pandangan bahawa bekerja di bank adalah dibenarkan selagi mana tidak berinteraksi secara terus dengan kontrak riba.
  3. Para sarjana Islam semasa bersepakat mengatakan bahawa sebarang pekerjaan yang berurusan secara terus (direct) dengan kontrak riba adalah haram kerana termasuk dalam larangan Nabi SAW yang membawa kepada laknat. Ijtihad para sarjana Islam dalam menghukumkan keharaman pekerjaan yang bersangkutan dengan amalan riba contohnya di sektor ribawi adalah bertepatan dengan kaedah kulliyyah yang menyebut :  " ما حرم أخذه حرم إعطأوه "               Maksud: Sesuatu yang haram menerimanya juga diharamkan memberinya.
  4. Dalam erti kata lain, kaedah ini membawa maksud apa sahaja perkara haram diambil atau mengambilnya, haram juga hukumnya memberikan kepada orang lain. Illahnya ialah ia akan membantu atau menolong kepada perbuatan yang diharamkan.
  5. Dalam kes mempromosi produk-produk insurans konvensional, para ejen sememangnya bertugas untuk memasarkan produk-produk konvensional yang telah diputuskan haram secara sepakat. Maka dengan sebab itu, hadith Nabi SAW yang jelas melarang umat Islam daripada terlibat dengan urusan dan perniagaan ribawi iaitu yang bermaksud: ”Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, pemberi wakilnya, pencatatnya dan dua saksinya. Nabi SAW bersabda: Semuanya sama-sama dilaknat” adalah terpakai dalam konteks ini. Walau bagaimanapun, bagi pekerja-pekerja yang tidak berurusan secara langsung dengan kontrak dan perniagaan riba, mengikut pandangan beberapa ulama’ seperti yang disebut di atas, pekerja-pekerja tersebut tidaklah dihukum mengikut hadith Nabi ini.
  6. Terdapat juga pandangan yang mengatakan selagi mana seseorang Muslim itu bekerja di bawah “bumbung” institusi yang mengamalkan sistem riba, pekerjaan mereka adalah ditegah kerana menyokong sistem yang dicela oleh Allah itu.
  7. Sistem insurans berlandaskan syariah sedang pesat berkembang pada masa ini dan umat Islam yang bekerja dalam sektor insurans konvensional berlandaskan sistem yang ditegah oleh Islam wajar memilih sistem yang berlandaskan syariah.
  8. Islam mengharamkan umatnya dari melibatkan diri dalam apa jua muamalah yang melibatkan riba kerana riba akan membawa kemusnahan kepada hidup manusia. Oleh itu tindakan mempromosikan atau mengajak orang lain menerima sesuatu yang berteraskan riba adalah jelas dilarang oleh Islam.
  9. Mereka yang bekerja dalam mempromosikan skim insurans konvensional berlandaskan riba perlulah berusaha dan bertekad bersungguh-sungguh untuk meninggalkannya dan dalam proses peralihan tersebut pendapatan yang diterima adalah halal dan dimaafkan oleh Islam.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Hukum Pelaksanaan Takaful Di Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa konsep dan pelaksanaan takaful di Malaysia adalah bertepatan dengan syariat Islam.

Rujukan:http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-pelaksanaan-takaful-di-malaysia


KAJIAN HUKUM INSURANS AM

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Kajian Hukum Insurans Am. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum ke atas Insurans Am adalah tidak diharuskan oleh Islam.

Rujukan: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/kajian-hukum-insurans-am

HUKUM PERDAGANGAN PERTUKARAN MATAWANG ASING OLEH INDIVIDU SECARA LANI (INDIVIDUAL SPOT FOREX) MELALUI PLATFORM ELEKTRONIK


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:


Setelah mendengar taklimat dan penjelasan pakar daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA) serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik adalah melibatkan item ribawi (iatu mata wang) dan dari sudut fiqhiyyah ia tertakluk di bawah hukum Bay al-Sarf yang perlu dipatuhi syarat-syarat umum jual beli dan syarat-syarat khusus bagi Bay al-Sarf seperti berikut:

Syarat-syarat umum jual beli:


Pihak yang berakad mestilah mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud);
Harga belian hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad;
Item belian hendaklah suatu yang wujud dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual serta boleh diserahkan kepada pembeli;
Sighah akad hendaklah menunjukkan keredhaan kedua-dua pihak, tidak ada unsur penempohan dan sighah ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.

Syarat-syarat khusus Bay al-Sarf:


Berlaku taqabbudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam platform forex sebelum kedua-dua pihak yang menjalankan transaksi berpisah daripada majlis akad;
Jual beli matawang hendaklah dijalankan secara lani dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan; dan
Akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada khiyar al-Syart.
Selain memenuhi syarat-syarat tersebut, Muzakarah juga menegaskan bahawa operasi perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) hendaklah bebas daripada sebarang unsur riba, elemen al-Salaf wa al-Bay (pemberian hutang dengan syarat dilakukan transaksi jual beli), unsur perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman atau eksploitasi.

Berdasarkan kajian terperinci yang telah dilakukan, Muzakarah mendapati bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui pengenaan rollover interest, pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui leverage, qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian. Selain itu ianya juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia.

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah HARAM kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara. Selaras dengan itu, umat Islam adalah dilarang daripada melibatkan diri dalam perdagangan mata wang seumpama ini.

Muzakarah juga menegaskan bahawa keputusan yang diputuskan ini tidak terpakai ke atas urus niaga pertukaran mata wang asing menerusi kaunter di pengurup wang berlesen dan urus niaga pertukaran mata wang asing yang dikendalikan oleh institusi-institusi kewangan yang dilesenkan di bawah undang-undang Malaysia.

Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-perdagangan-pertukaran-matawang-asing-oleh-individu-secara-lani-individual-sp

HUKUM KE ATAS PRODUK INVESTMENT LINK MENURUT ISLAM


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21 - 23 November 2006 telah membincangkan Hukum Ke Atas Produk Investment Link Menurut Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa umat Islam hari ini mempunyai banyak alternatif untuk membeli atau melabur dalam produk-produk insurans yang berlandaskan syariah.


Oleh itu, pembelian produk-produk Investment Link yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat insurans konvensional yang menggabungkan insurans konvensional dan pelaburan saham amanah dalam dana-dana yang tidak menepati syarak perlu dielakkan oleh umat Islam.

Keterangan/Hujah: 

LATAR BELAKANG

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menerima pertanyaan daripada orang ramai berhubung dengan hukum penyertaan dalam produk Investment Link yang ditawarkan oleh syarikat insurans konvensional di negara ini. Isu ini juga timbul di Muzakarah Ahli-Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia yang diadakan di Hotel Pan Pacific KLIA Sepang.

Investment Link (produk yang berkaitan dengan pelaburan) ialah program tabungan berasaskan pelaburan saham secara berkelompok yang pemilikannya dikira mengikut jumlah unit seperti saham amanah dan digabungkan pula dengan manfaat insurans nyawa (life insurance). Dengan kata lain, wang caruman insurans (premium) dilabur untuk memperoleh keuntungan dan pada masa yang sama peserta turut mendapat jaminan perlindungan melalui produk insurans nyawa, jika ditakdirkan sesuatu musibah menimpa peserta atau pemiliknya.
Maklumat berkaitan produk Investment Link adalah seperti berikut:


  • Faedah utama produk : antara faedah utama ialah perlindungan kewangan akibat kematian dan keilatan kekal. Peluang-peluang pelaburan. Fleksibel dalam memilih perlindungan yang dikehendaki.
  • Syarikat-syarikat yang menawarkan produk: Di Malaysia, Syarikat Takaful Malaysia Berhad dan Maybank Takaful menawarkan produk Investment Link yang mematuhi syariah. Syarikat-syarikat ini melabur dalam sekuriti lulus syariah dan menawarkan perlindungan takaful. Syarikat-syarikat insurans konvensional yang menawarkan produk ini ialah AM-Assurancelink, AIA Co. Ltd dan Great Eastern Life Assurance (M) Bhd.

HUJAH DAN DALIL

Isu syariah yang timbul dalam Investment Link ialah sebahagian wang caruman (premium) peserta digunakan untuk membeli polisi insurans konvensional dan sebahagian yang lain dilabur dalam pelaburan saham amanah Islam. Dalam erti kata lain peserta mencarum misalnya RM100 sebulan, sejumlah RM55 digunakan untuk caruman polisi insurans konvensional manakala baki RM45 digunakan untuk melabur dalam saham amanah Islam. Oleh yang demikian, penentuan hukum berdasarkan prinsip-prinsip syariah dan keputusan fatwa yang telah ditetapkan seperti berikut:

a. Keputusan Fatwa

Keputusan fatwa berkaitan insurans (konvensional) telah diputuskan pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bertarikh 15-16 Februari 1979. Keputusan fatwa tersebut ialah:

Insurans nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insurans yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu matlamat yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu: mengandungi gharar (ketidaktentuan); mengandungi unsur judi; mengandungi muamalah riba.

Berdasarkan keputusan fatwa ini, kontrak insurans yang wujud pada hari ini adalah haram hukumnya. Sehubungan itu, perlindungan insurans konvensional yang digabungkan dalam produk Investment Link adalah bercanggah dengan hukum syarak.

b. Suruhanjaya Sekuriti

Peraturan Suruhanjaya Sekuriti menyatakan mana-mana syarikat yang ingin melaburkan wang saham amanahnya dalam sekuriti lulus syariah hendaklah melantik Jawatankuasa Syariah bagi mengawasi dan memastikan pelaburannya berlandaskan prinsip syariah.

Dalam konteks ini Takaful Malaysia dan Maybank Takaful mempunyai Jawatankuasa Penasihat Syariah masing-masing bagi memantau pelaburan yang dibuat manakala syarikat insurans konvensional pula tidak menubuhkan Jawatankuasa Syariah kerana Akta Insurans 1993 tidak mengkehendaki berbuat demikian. Walaupun syarikat ini mendakwa pelaburan Investment Link mereka adalah lulus syariah dan merujuk kepada Jawatankuasa Syariah syarikat atau bank lain, tetapi disebabkan ketiadaan Jawatankuasa Syariah dalaman di peringkat organisasi sebagaimana yang disyaratkan oleh Guideline On Unit Trusts menyebabkan dakwaan ini sukar diterima.


Sumber: Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan: Berhubung Dengan Isu-Isu Muamalat (2009)

Rujukan: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-ke-atas-produk-investment-link-menurut-islam